Bismillah.
Assalamualaikum.
Alquran adalah kitab suci yang diturunkan sebagai panduan bukan sahaja kepada muslim malahan kepada sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Ia diturunkan melalui perantaraan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلّم kepada kita umat akhir zaman. Ia adalah manual kehidupan yang sangat lengkap, merangkumi segala aspek kehidupan kita, kitab yang datang daripada Allah سبحانه وتعالى pencipta yang menciptakan kita dan seluruh alam. Mana mungkin adanya cara hidup yang lebih sesuai melainkan apa yang telah tertulis di dalamnya.
Kitab JPJ pula adalah manual yang boleh dikatakan agak lengkap yang mengandungi kebanyakan undang-undang, peraturan dan etika di jalan raya. Tidak dapat tidak seorang yang ingin mengambil lesen memandu membaca, memahami dan menghafal apa yang tercatat di dalamnya. Rata-rata kesemua kita amat meneliti dan memberi fokus yang tinggi agar dapat menguasai undang-undang tersebut agar lulus, dan dapat dipraktikan di atas jalan raya.
Kehidupan manusia sebenarnya adalah perjalanan yang amat jauh, bermula daripada alam ruh, alam rahim, seterusnya alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Perjalanan yang terbentang dihadapan amatlah jauh beribu-ribu malahan jutaan tahun lamanya. Ke mana arah tujuan kita? sudah tentu adalah syurga Allah سبحانه وتعالى, kerana daripada syurga kita berasal (Nabi Adam عليه سلام) dan kepada syurga kita menuju. Perjalanan yang sebegini rupa sudah pasti terisi dengan banyak rintangan dan onar yang memerlukan kita kepada satu panduan iaitu Alquran.
Seperti Alquran yang mempunyai hukum-hakam seperti haram minum arak, judi dan zina. Wajib solat, zakat, puasa pada bulan ramadhan, dan haji bagi yang berkemampuan. Kitab JPJ juga mempunyai persamaan hukum yang berkait rapat dengan jalanraya salah satu contoh :
Lampu merah = Haram jalan
Lampu kuning = Makruh jalan
Lampu Hijau = Wajib jalan
Persoalan yang ingin dilontarkan disini adalah, kenapa jika sesuatu panduan yang berkait rapat dengan hal-hal dunyawi amat mudah kita ikuti dan amat mudah untuk kita cuba praktikan? manakala hal-hal hukum hakam yang terdapat di dalam Alquran amatlah sukar kita lakukan.Adakah kita kurang beriman kepada Alquran?. Alasan yang selalu diutarakan adalah hukum-hakam Alquran tidak sesuai digunakan lagi, kolot dan ketinggalan zaman. Tanpa sebab-sebab yang kukuh alasan-alasan yang diberikan adalah perkatan orang yang rosak imannya (bukan tidak beriman).Na'uzubillah.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلّم
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابُ اللَّهِ ، وَسُنَّةُ نَبِيِّهِ
"Aku tinggalkan kepada kamu Dua perkara, kamu tidak akan sesat
jika berpegang kepada keduanya ; Al-quran dan Sunnah"