Bismillah, Assalamualaikum.. ucapan penghormatan yang mulia.
Peristiwa ini berlaku kira-kira 30 tahun lepas, di mana seorang jejaka dan perawan ingin mendirikan rumah tangga. Jejaka menetap di hulu manakala perawan menetap di muara. Tidak lama sebelum janji di meterai ayahanda perawan terlalu ingin berjumpa ayahanda jejaka.Walau jauh berbatu-batu, bukan menjadi penghalangnya.
Perawan amat pelik dengan sikap ayahandanya yang sedemikian. Ayahanda perawan sangat alim orangnya, solat tidak tinggal, tidak berkata kesat, berbudi bahasa sesama kaum keluarga dan sahabat handai. Perawan pernah juga bertanya kenapa ayahandanya ingin sangat berjumpa dengan ayahanda jejaka secara berdepan.Akan tetapi, tiada jawapan yang diberikan, hanya menghulurkan senyuman.
Pabila sampai masanya, ayahanda perawan pun berangkat, berjalan menuju ke destinasi yang di nanti-nanti. Berbekalkan hanya secukupnya untuk perjalanan pergi, bekalan perjalanan pulang belum pasti cukupnya lagi. Anak sungai dilintas, Sungai yang luas direnang, denai dijejaki, dan dataran diterokai maka sampailah tempat yang diniati di hati,
Menghulurkan salam tanda beriman, bertandang masuk ke rumah yang serba indah bukan kerana perhiasannya tetapi kerana pancaran budi tuan rumah yang petah dalam menyusun kata. Makanan pun tidak seberapa, ubi bersama parutan kelapa menjadi jamuan mengisi perut yang berbunyi. Pabila Tuhan memanggil kedua ayahanda pergi menyahutnya di Masjid berdekatan.
Mereka berbual sehingga senja, bermalam pula untuk menghilangkan penat di dada. fajar subuh menyising menunjukkan bahawa waktu pulang sudah tiba, risau akan anak isteri yang di tinggalkan membuatkan permusafiran tidak boleh lama. Kedua ayahanda memeluk erat dan bersalaman tanda redha akan pilihan jejaka dan perawan.
Permusafiran balik terasa lebih sekejap daripada perginya kelmarin. Pabila sampai di rumah, disambut mesra oleh si ibu dan perawan. Hilang lelah melihat kemesraan yang ditujukan oleh keluarga yang sentiasa merinduinya.Dibisikan ke telinga perawan, "ayahanda bersetuju menyerahkanmu kepada jejaka, setelah ayahanda lihat ayahanda jejaka adalah seorang yang baik dan menjaga solatnya.Sambungnya lagi,
"jika pohonya tunduk sudah hampir pasti pucuknya akan tunduk jua"
perawan bertanya, "tunduk apakah yang ayahanda maksudkan"
ayahanda menyahut "As-solah"
Yang baik dari Allah.